Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad. foto MIRZA HASIM, 20 JULAI 2018

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan bahawa Majlis Amanah Mara (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibuka kepada bukan Bumiputera.

Ujarnya, berita mengenai Mara dan UiTM yang dikhususkan untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera itu baru sahaja beliau dengar, itu pun daripada para wartawan yang mengajukan soalan itu kepadanya.

“Saya tidak tahu. Saya dengar daripada awak sahaja (pemberita) sahaja.

“Kalau saya terima maklumat, tanya saya balik,” katanya dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai artikel yang disiarkan di www.abuleman.blogspot.com yang mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa menyatakan hasratnya mahu membuka MARA untuk semua kaum di Malaysia selepas melawat Ibu Pejabat MARA, baru-baru ini.

Perkara itu didakwa diakukan Sivarasa dalam satu pertemuan bersama dengan pegawai kanan Mara.

Dalam laporan itu menyatakan Sivarasa mahu menukar nama sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

Memetik laporan dalam artikel itu, menurut sumber, Sivarasa juga diamanahkan untuk menjaga kepentingan MARA yang sepatutnya dijaga oleh orang Melayu.

Bagaimanapun, laporan tersebut hanya memetik sumber dan tidak dinyatakan secara langsung oleh Sivarasa. -MalaysiaGazette