Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2018
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2018

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, agihan royalti petroleum akan diberikan kepada negeri-negeri pengeluar bahan api itu mengikut negeri masing-masing.

Jelasnya, hasil daripada keuntungan daripada Petronas akan diagih mengikut kadar 20 peratus seperti yang diputuskan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Royalti adalah keuntungan, kalau kerajaan buat RM100 juta, maka royalti RM20 juta kepada mereka.

“Ia bergantung kepada keuntungan Petronas pada kawasan itu. Apa yang kita kumpulkan di Terengganu, tidak akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kenyataan Mahathir itu dibuat selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebentar tadi.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU-14  berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.

Sebelum ini, Terengganu tidak menerima royalti minyak sejak tahun 2000 sebaliknya hanya menerima wang ihsan dari kerajaan Pusat yang dipimpin Barisan Nasional.

Sabah dan Sarawak pula hanya menerima lima peratus royalti minyak manakala Kelantan menerima wang ihsan minyak sejak tahun 2010. -MalaysiaGazette