Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) diiringi Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (kiri) beramah mesra dengan penerima pingat bakti belia pada Sambutan dan Jamuan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) diiringi Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (kiri) beramah mesra dengan penerima pingat bakti belia pada Sambutan dan Jamuan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2018

BANGI – Kerajaan kini dalam perancangan untuk menubuhkan jawatankuasa khas pemantauan pengasuh di rumah, kata Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semua pengasuh digesa agar segera mendaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia bagi memudahkan kementerian membuat pemantauan apabila jawatankuasa khas itu ditubuhkan kelak, katanya.

“Kita dalam perancangan sebab banyak melibatkan banyak menteri.

“Kita hendak mereka mendaftar bagi memudahkan kita memantau aktiviti dan bagaimana standard dan penjagaan bayi dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan 7 Dekad Majlis Belia Malaysia di Bangi Avenue hari ini.

Ujarnya, penubuhan jawatankuasa itu akan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai kementerian terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara.

“Kita akan buat penambahbaikan dan jawatankuasa kerana ini merentasi kementerian bukan sahaja Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja. Malah ia melibatkan pihak polis dan pejabat Peguam Negara.

“Memang ada peraturan yang mesti diikuti dan didaftar dibawah kementerian. Kami tidak tahu kalau pengasuh tidak berdaftar,” katanya lagi.

Isu pengasuh bayi dan kanak-kanak di rumah menjadi tumpuan ramai apabila terdapat beberapa kes kematian melibatkan bayi di rumah.

Antaranya bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui mati dalam peti sejuk beku rumah pengasuhnya pada 3 Julai lalu.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan di bahagian kanan otaknya.

Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan turut terkorban apabila parah pada kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh.

Selasa lalu, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala. – MalaysiaGazette