Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad melambai tangan ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.
Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad melambai tangan ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak ada masalah untuk bekerja lebih 36 jam jika diperlukan.

Kata beliau, ketika ini beliau sedang bekerja 24 jam sehari dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kerajaan untuk mensejahterakan rakyat.

“Saya telah menekankan waktu bekerja saya sebanyak yang mungkin, saya sedang bekerja 24 jam sehari.

“Jika anda boleh mencari lebih masa dalam sehari, saya boleh kerja 36 jam juga. Itulah yang kami lakukan sepanjang masa,” katanya kepada pemberita ketika di temui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi pertanyaan lisan pagi tadi.

Dalam perkembangan sama ditanya mengenai kehadiran menteri kabinet ke persidangan Parlimen, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, adalah tidak praktikal untuk mengharapkan menteri Kabinet dan timbalannya menghadiri Dewan Rakyat sepanjang 20 hari bersidang.

Ujar beliau, anggota jemaah menteri itu juga mempunyai tanggungjawab terhadap tugas lain dalam kementerian masing-masing.

“Mereka boleh hadir (sidang parlimen) seberapa kerap yang boleh tetapi perlu juga mengambil berat tentang tugas lain (kementerian) yang ada dan perlu bertindak.

“Namun Parlimen bersidang sepanjang hari dan tidak praktikal untuk mengharapkan kehadiran kesemua 20 hari, kerja birokratik juga penting,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan kehadiran mereka di Dewan Rakyat

“Saya tak puas hati (kehadiran ke sidang Dewan Rakyat) mereka harus memperbaikinya segera tetapi mereka harus mempunyai sebab munasabah tidak dapat hadir,” tegas beliau.- MalaysiaGazette