Pengarah Strategik PAP, Ramesh Rao Krishnan Naidu

KUALA LUMPUR – Parti Alternatif Rakyat (PAP) meminta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji penangguhan bayaran balik kepada mereka yang belum menerima gaji RM4,000 sebulan.

Pengarah Strategik PAP, Ramesh Rao Krishnan Naidu mendakwa kebanyakan peminjam PTPTN mengundi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk membolehkan mereka menangguh pembayaran pinjaman tersebut setelah disenaraihitam oleh kerajaan terdahulu.

“Dalam bajet pakatan rakyat pada 2013 dulu, gabungan yang sama menawarkan pemansuhan PTPTN dan melupuskan hutang semua peminjam tidak ditunaikan, kemudian mereka tukar janji baru untuk menangguhkan bayaran balik daripada peminjam.

“Selepas buat cerita meragukan berkaitan hutang negara serta menyalahkan kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN), kerajaan baharu ini cuba mengelak daripada (menunaikan) janjinya, sebaliknya mereka cari alasan untuk tidak menunaikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramesh Rao, kerajaan PH hanya mampu menarik balik nama dari senarai hitam Jabatan Imigresen dan terus menuntut bayaran balik pinjaman.

Namun nama peminJam tetap disenarai hitam dalam senarai Sitem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

“Jangan berganjak daripada mendesak kerajaan pakatan untuk laksanakan janji berkenaan.

“Kerajaan juga tidak boleh mengambil mudah kemahuan rakyat dengan membuat janji pilihan raya seperti perkara yang boleh diubah-ubah sesuka hati,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menyatakan janji menangguhkan bayaran balik PTPTN akan dilaksanakan namun beliau sudah mengubah pendirian selepas itu.

“Dalam laman sosial Facebook, Maszlee menyatakan bahawa janji itu tidak dapat ditunaikan kerana hutang negara dalam keadaan teruk walhal hutang negara hanyalah rekaan kerajaan pakatan melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Wahai peminjam PTPTN menyerah kalah tidak sesekali, sebaliknya terus mendesak kerajaan PH laksanakan apa yang mereka janjikan tanpa mengkhianati rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette