KUALA LUMPUR – Pas menuntut jaminan daripada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) supaya penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) tidak mengetepikan kepentingan ekonomi orang Melayu serta Bumiputera.
Asas tuntutan itu dikemukakan kerana bimbang polisi ekonomi yang lebih liberal akan diperkenalkan berdasarkan meritokrasi sehingga mengabaikan kontrak sosial, dasar afirmatif dan peruntukan khas seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ketua Penerangan Pas pusat, Nasrudin Hasan, parti itu mendesak keputusan kerajaan PH yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu mesti dirunding bersama pemegang taruh dalam kalangan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Melayu-Islam termasuk tokoh berpengaruh.
“PH perlu sedar berdasarkan laporan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, daripada badan-badan kajian terkemuka menunjukkan PH hanya memperoleh sekitar 25 peratus hingga 30 peratus sahaja sokongan pengundi Melayu.
“Oleh sebab itu, dasar ekonomi yang mahu dirombak harus mengambil kira kedudukan majoriti rakyat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Nasrudin menyarankan kerajaan PH turut mengambil input untuk mengimplementasi model ekonomi Islam sepertimana pernah disarankan Profesor Adjung Kamal Salih ketika berbincang dengan Majlis Penasihat Kerajaan awal bulan lalu.
Kata beliau, keadilan pengagihan ekonomi yang mahu dicapai mesti bermula dengan menghapuskan amalan kronisme, monopoli, kleptokrasi, korupsi, rasuah dan penstrukturan sistem percukaian yang lebih baik.
“Sekiranya terdapat matlamat utama yang masih gagal dicapai dalam DEB dan MEB, maka strategi pelaksanaannya yang harus diperbaiki, bukan sasarannya yang dirombak,” katanya. – MalaysiaGazette
















