Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Satu usul akan dibawa pada 6 atau 7 Ogos depan bagi menamakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC), demikian menurut Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, Dewan Rakyat masih mempunyai masa untuk menentukan siapa yang akan mengetuai badan siasatan itu.

Buat masa ini, Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang nama daripada pihak pembangkang untuk lantikan jawatan tertinggi PAC itu.

“Perkara ini kita akan bawa pada 6 atau 7 Ogos depan, jadi kita ada masa lagi untuk selesaikan isu ini.

“Tidak perlu tergesa-gesa, biarkan kami selesaikan perkara ini dengan baik. Ini memang telah diperuntukkan dibawah perintah tetap Parlimen,” katanya kepada media hari ini.

Kor Ming berkata demikian selepas mengiringi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat lawatan ke bilik media di Parlimen hari ini.

Kor Ming sebelum ini berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibayangkan untuk mengisi jawatan itu.

“Ini sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan yang mahu menyerahkan jawatan Pengerusi PAC kepada pembangkang supaya proses semak dan imbang lebih berkesan terhadap kuasa eksekutif,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, sesiapa sahaja daripada blok pembangkang boleh dilantik sekiranya Ahmad Zahid tidak mahu menerima jawatan itu.

Semalam Ahmad Zahid berkata, keputusan untuk menjawat jawatan Pengerusi PAC hanya akan diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan rakan pembangkang termasuk Pas.

Katanya, buat masa ini, beliau belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada kerajaan PH mengenai jawatan tersebut.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi PAC tidak pernah disandang oleh mana-mana pihak pembangkang ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Pembangkang diberikan jawatan Timbalan Pengerusi PAC.

Bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giew merupakan Timbalan Pengerusi PAC semasa kerajaan BN memerintah sehingga Mei 2018 lalu. -MalaysiaGazette