KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula pelantikan Senator Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Gesaan itu dibuat oleh Naib Presiden Perkasa, Hassan Basri Muhammad berdasarkan latar belakang Pengerusi DAP Johor itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Felo Penyelidik Pelawat di Institute of Southeast Asia Studies (ISEAS) Singapura.
Kata beliau, ISEAS adalah ‘think tank’ yang juga pusat penyelidikan kerajaan Singapura di bawah National University Of Singapore.
“Atas alasan ini, Perkasa melahirkan kebimbangan dengan Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
“Kalau melihat Perlembagaan Persekutuan Perkara 132 (a) jelas meletakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah perkhidmatan yang tertinggi di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Hassan Basri, pelantikan pimpinan utama Kementerian Pertahanan dan soal keselamatan negara bukan perkara yang boleh diambil mudah. Ianya mencorakkan geopolitik antarabangsa, sekali gus boleh menggugat keselamatan dan kekuatan pertahanan ATM.
Katanya, antara tanggungjawab ISEAS ialah membuat kajian semua bidang di negara Asia Tenggara, termasuk mengkaji dan mengumpul data untuk mengetahui kelemahan serta kekuatan orang Melayu, di samping data berhubung dengan pendidikan, ekonomi termasuk sistem keselamatan negara.
Malah, ujar Hassan Basri, ISEAS antara mekanisma rujukan perisikan Singapura.
“Apakah tidak mustahil dengan pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan membolehkan beliau mengakses sistem kerahsiaan dan keselamatan negara yang memungkinkan berlakunya persaingan keselamatan dengan kerajaan Singapura.
“Kita tidak menuduh Chin Tong sebagai sumber maklumat kerahsiaan keselamatan negara, jauh sekali mengakseskannya kepada ISEAS atas semangat patriotik beliau kepada negara Malaysia.
“Cuma Perkasa bertanya apakah rasionalnya beliau yang pernah membantah pembinaan kem tentera di Sembrong dan Segamat dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertahanan di bawah naungan Raja-Raja Melayu?
“Apakah beliau mampu menarik 30 peratus kaum Cina untuk menyertai ATM yang sememangnya tidak berminat berada berbulan-bulan di hutan belantara dan di lautan,” katanya.
Di samping itu, beliau mencadangkan Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan serta lantikan politik di bawahnya iaitu Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit, Setiausaha Akhbar, Pegawai Khas dan sebagainya mesti melalui tapisan keselamatan. – MalaysiaGazette
















