KUALA LUMPUR – Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wiranita Perkasa) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengamalkan sikap mesra kepada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) walaupun gaya hidup kelompok songsang itu masih tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara.
Ketuanya, Foziah Nawawi berkata, walaupun komuniti LGBT mempunyai hak untuk mengamalkan gaya hidup di bawah hak asasi manusia, tetapi mereka masih tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkannya diamalkan di negara ini.
Justeru, katanya, Wiranita Perkasa menggesa kerajaan PH mengambil tindakan tegas terhadap golongan LGBT dan tidak membiarkan kelompok itu menyebarkan fahaman mereka dengan mencari pengaruh dalam kalangan belia dan remaja Islam.
“LGBT bukan sahaja jijik di sisi Islam, bahkan bertentangan dengan ajaran al-Quran dan Sunnah serta norma masyarakat timur dan nilai budaya positif masyarakat Malaysia.
“Kita berpendapat sebarang nilai dan budaya mesti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, manakala hak asasi manusia mesti sentiasa dipelihara mengikut asas serta acuan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Foziah, hak asasi manusia dan sebarang amalan budaya songsang beracuankan barat mesti ditolak kerana bertentangan dengan ajaran dan syariat Islam yang suci.
Katanya, Wiranita Perkasa juga turut menggesa tindakan tegas diambil ke atas golongan itu yang semakin menjadi-jadi dan jika dibiarkan boleh mempengaruhi masyarakat di negara ini.
Ujar beliau, segala amalan komuniti LGBT sama sekali bercanggah dengan undang-undang syariah dan sivil di negara ini dan kesalahan itu termaktub dalam Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.
“Kita percaya komuniti LGBT boleh dipulihkan dengan kasih sayang dan pendidikan, dakwah yang berkesan serta tindakan pemulihan dan kaunseling.
“Masyarakat pula janganlah cepat-cepat menghukum golongan berkenaan, sebaliknya dekati mereka dan bawa balik ke pangkal jalan. Allah sentiasa menerima taubat mereka yang ikhlas,” katanya. – MalaysiaGazette
















