Mohamed Elias Abu Bakar Setiausaha SPR

KUALA LUMPUR – Tarikh Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dijangka diketahui Isnin ini.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat khas pada 30 Julai ini untuk menentukan tarikh PRK di kawasan tersebut.

Setiausaha SPR,  Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bermula 10 pagi di Menara SPR, Putrajaya.

Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood setelah pihaknya menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim hari ini.

“Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pemilihan itu.

“Selain itu, persiapan lain yang diperlukan untuk melaksanakan pilihan raya tersebut dalam mesyuarat itu disusuli sidang media pukul 12.30 tengahari tentang pengumuman tarikh PRK,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Ujar Mohamed Alias, kerusi DUN Balakong diisytiharkan kosong selepas wakil rakyatnya,  Ng Tien Chee meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan ngeri pada 20 Julai lalu.- MalaysiaGazette