Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin utama Pas melahirkan kebimbangan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan manifesto gabungan itu bukan ‘kitab suci’.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan khuatir suatu hari nanti, buku Perlembagaan Persekutuan juga akan disifatkan bukan ‘kitab suci’ dan tidak perlu dipatuhi.

“Saya khuatir ada pemimpin kata manifesto bukan kitab suci. Dia kata bukan satu janji. Dosa saya tanggung kata pemimpin tersebut.

“Saya bimbang kitab ini (sambil memegang buku Perlembagaan) juga satu hari dikatakan bukan kitab suci dan tidak perlu dipatuhi isi kandungannya,” katanya dihadapan lebih 3,000 peserta Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Ucapan Takiyuddin dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu manifesto PH baru-baru ini.

Pada 17 Julai lalu, Mahathir berkata, kerajaan PH akan menanggung dosa jika menipu rakyat dalam menunaikan janji manifesto.

“Kalau kami berdosa, kami tanggung, tapi kami tak anggap manifesto kitab suci Al-Quran atau Bible, jadi bila sampai rintangan kita perlu cari jalan lain untuk tanganinya,” katanya.

Mahathir berkata demikian dia Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Malah Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu pernah membawa isu itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya; “Hadi bila ditanya pandangan manifesto bukan kitab suci dan dengan tegas beliau kata manifesto memang bukan kitab suci tapi kitab suci mewajibkan manifesto atau janji ditunaikan,”. – MalaysiaGazette