Lokman (dua dari kiri) mengiringi Najib dalam program walkabout di PDM Jalan Kebun, hari ini.
Lokman (dua dari kiri) mengiringi Najib dalam program walkabout di PDM Jalan Kebun, hari ini.

SHAH ALAM – Rakyat, terutama orang Melayu dan Islam mula muak dengan kepimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang dilihat ada usaha hendak menindas bangsa sendiri.

Justeru, menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak keterlaluan kalau orang Melayu dan Islam dari pelbagai fahaman ideologi politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu menyatakan ketidakpuasan hati mereka pada Himpunan Kebangkitan Ummah di ibu kota, pagi ini.

Kata beliau, himpunan itu adalah sebagai tanda rakyat marah dan tidak senang hati dengan corak pentadbiran kerajaan baharu PH, yang dilihat seperti mengancam kesucian Islam dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Selama ini, di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), kita jaga kesucian Islam, kita memelihara hak istimewa orang Melayu dan kita jaga hak Bumiputera dan pada masa sama, kita juga jaga kaum-kaum lain.

“Belum tiga bulan memerintah, PH sudah mengguris hati orang Islam dan Melayu,” katanya ketika ditemui media pada program kempen beliau di kedai makan Yazid dan ramah mesra dengan pengundi di Jalan Kebun, dekat sini, petang ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur; calon, Datuk Lokman Noor Adam dan jentera BN.

Ini adalah kali kedua Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dalam tempoh tiga hari.

Selepas itu, Najib menyambung program walkabout menziarah pesakit kencing manis, Mohd Ahsan Helmi, 34, dan pesakit kanser, Norhayati Sihab, 57, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Kebun.

Menurut Najib, dalam perjumpaannya dengan penduduk di Sungai Kandis, beliau ada menyeru mereka supaya memberi peluang kepada Lokman menjadi suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Nampak (sambutan pengundi) positif terhadap BN. Saya harap ia kekal sehingga pada hari mengundi 4 Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast