Amirul Ashrafiq Hanifah merupakan skuad Bawah 16 Tahun negara yang kini berada di Surabaya, Indonesia.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan keselamatan  Amirul Ashrafiq Hanifah serta skuad Bawah 16 Tahun Malaysia yang kini berada di Surabaya, Indonesia.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerusi Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin telah pun membuat tindakan segera dengan menghubungi Naib Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono.

FAM juga menghubungi Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria serta Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), Datuk Seri Azzuddin Ahmad selaku penganjur kejohanan.

“Mereka bertiga telah berjanji bahawa pihak tuan rumah dan penganjur akan memastikan tahap keselamatan Amirul Ashrafiq, pemain-pemain serta pegawai pasukan Malaysia terjamin sepenuhnya sepanjang berada di Surabaya bagi Kejuaraan B-16 AFF 2018 ini.

“Selain itu, pihak AFF dan PSSI turut memaklumkan bahawa pasukan Malaysia tidak perlu terlalu risau biarpun terdapat ugutan yang dilakukan pihak tertentu terhadap pemain berkenaan berhubung isu ini kerana tahap keselamatan telah pun dipertingkatkan,” jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan itu.

Tambah Stuart, pihaknya yakin dan percaya dengan kewibawaan AFF dan PSSI untuk mengotakan janji tersebut.

“Komitmen tinggi daripada mereka untuk memastikan tahap keselamatan tinggi buat para pemain dan pegawai pasukan Malaysia, sekali gus membolehkan pasukan kita dapat memberi fokus penuh dalam menghadapi setiap perlawanan di sana,” katanya.

Isu keselamatan pemain menjadi hangat selepas timbul ugutan bunuh kepada Amirul berkaitan kesilapan memuat naik bendera Indonesia di Instastorynya ketika berlepas ke Surabaya Jumaat lalu.

Bagaimana pun, Amirul telah membuat permohonan maaf kesilapannya itu. – MalaysiaGazette