Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan niat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memecahkan fungsi Mara melanggar Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan setelah diklasifikasikan Mara sebagai sebuah badan berkanun maka hak orang Melayu sekali gus tidak boleh diganggu.

“Saya dengar bahawa kemungkinan Mara akan dipecahkan dan diasingkan mengikut beberapa kementerian.

“Kalau ikutkan akta Mara, perbadanan ini tidak boleh dipecahkan. Fungsi Mara itu perlu kekal turun temurun,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, PH didakwa akan mencadangkan Mara akan dipecahkan ke beberapa kementerian sekali gus mengecilkan peranannya dalam membantu bumiputera.

Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar. – MalaysiaGazette