Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat bantahan kepada dua pertubuhan bola sepak Asia berhubung tindakan melampau penyokong tuan rumah, Indonesia yang menghina nama negara pada Kejohanan B-16 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara yang berlangsung di Surabaya malam tadi.

Surat itu dihantar kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) susulan tindakan penyokong Indonesia menyanyikan ‘Malaysia itu anjing’ pada perlawanan antara Malaysia dan Thailand di Stadium Joko Samudro.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, tindakan menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC itu dilakukan dengan segera supaya kedua-dua pihak dapat mengambil tindakan sewajarnya agar perkara sama tidak berulang pada perlawanan kedua skuad negara bertemu Brunei di stadium sama, Jumaat ini.

“Bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap skuad B-16 kebangsaan lebih terjamin, FAM juga telah bertindak untuk menghantar Exco FAM, ACP Md Dali Wahid yang merupakan seorang pegawai tinggi PDRM ke Surabaya, esok bagi membuat penilaian terhadap langkah-langkah keselamatan yang dilakukan oleh pihak tuan rumah dan penganjur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada perlawanan pembukaan Kympulan B malam tadi Malaysia tewas 1-2 di tangan juara tiga kali, Thailand.

Tambah beliau, FAM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik selepas ini jika didapati tuan rumah dan penganjur sekadar mengambil ringan berhubung isu itu.

Ramalingam mahu AFF dan AFC bertegas dalam hal itu memandangkan AFC pernah mendenda Malaysia sebanyak AS$30,000 (RM121,702) kerana penyokong Malaysia menghina Brunei dan Singapura dengan menyanyi pada perlawanan bola sepak ketika negara menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017.

“Tindakan dan denda sewajarnya juga sepatutnya perlu dikenakan terhadap penyokong Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette