PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka ruang kepada golongan ulama, cendikiawan dan pakar Islam bagi memberikan pandangan masing mengenai Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, golongan itu turut dipelawa memberikan buah fikiran dalam merencana undang-undang memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

“Kita wujudkan forum di mana mereka boleh bagi input dan pandangan kerana akhirnya Jabatan Perdana Menteri akan terjemahkan pandangan itu dalam bentuk undang-undang.

“Tapi kami tidak mahu tergesa-gesa kerana saya perlukan input melalui kelompok perbincangan yang lebih khusus,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri petang tadi.

Sebelum itu, sekumpulan 37 individu termasuk ulama dan cendikiawan Islam mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pertemuan selama dua jam itu berkisar tentang pengukuhan tiga teras yang diketengahkan Perdana Menteri sebelum ini, kata Mujahid.

Antaranya penubuhan Gagasan Islam Rahmatan Lilalamin, Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan Model Malaysia.

“Antara isunya lebih kepada perbincangan tentang bagaimana nak perkukuhkan institusi Islam supaya ia dilihat progresif dan efektif.

“Ia untuk mencapai sifat terbuka dan nilai yang akan memandu kita kearah memperkasakan Islam. Ilmu yang nak disampaikan tidak tersempit kepada ilmu ibadah sahaja, malah ilmu tentang sains dan kepakaran,” katanya lagi.

Mujahid berkata, akan ada lagi siri-siri pertemuan dengan golongan itu di masa akan datang bagi mendapatkan input-input terkini dalam merangka langkah perkukuhkan institusi Islam supaya lebih progresif dan efektif.

Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid menafikan kewujudan Majlis Hal Ehwal Tertinggi Islam disebabkan ketidakpercayaan Majlis Raja-Raja terhadap kerajaan PH.

Penubuhan majlis tersebut, ujarnya tidak dibuat secara berasingan malah mendapat persetujuan penuh daripada Kabinet.

“Sebenarnya kami hanya memenuhi janji kami dalam manifesto PH yang mana selepas 10 perkara dalam 100 hari, ia kedudukan dalam 11.

“Sebab itu dengan keprihatinan itu, kita telah bawa hal ini ke Kabinet dan telah diluluskan minggu lepas.

“Kita telah mengadap pihak istana dan mereka bersetuju. Sinergi diantara kedua-dua ini telah melahirkan majlis tertinggi ini,” katanya lagi.

Malah katanya, majlis yang dipengerusikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan (Perak) Datuk Dr. Afifi al-Akiti itu hanya akan berfungsi selama lima bulan untuk mengumpul maklumat.

“Semua ulama secara individu akan turut dipanggil untuk bagi pandangan dan dia akan keluarkan dalam satu laporan selepas lima bulan untuk mereka persembahkan kepada Raja-Raja dan kemudian dibawa ke kerajaan untuk kami laksanakan dan kaji semua keputusan itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. begitulah caranya nak buat sesuatu hukum dalam islam. bukan bolih serbu saja keparlimen nak bentang ruu kawan tak tahu raja2 pun tak tahu.

Comments are closed.