Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan dokumen pengenalan diri yang dipalsukan pada sidang media mengenai kes tangkapan dalam 'OPS SERKAP di Pejabat Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2018
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menunjukkan dokumen pengenalan diri yang dipalsukan pada sidang media mengenai kes tangkapan dalam 'OPS SERKAP di Pejabat Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket Ah Boy didalangi tiga lelaki warga tempatan yang terlibat dalam pemalsuan i-Kad di ibu negara.

Ketiga-tiga suspek ditahan bersama dua orang wanita warga Indonesia kerana disyaki menjadi pembantu mereka dalam Ops Mega yang dilakukan pada Ahad lalu.

Dalam serbuan di dua lokasi di ibu negara, kelima-lima suspek yang berusia antara 26 hingga 38 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan telefon bimbit di Chow Kit dan Kampung Baru.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafas Ali berkata, sindiket tersebut aktif sejak tiga tahun lalu dan menyasarkan pekerja warga Bangladesh, Indonesia dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pelanggan utama.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati sindiket itu terlibat dalam kegiatan pengeluaran surat kebenaran bekerja dengan syarikat lain dan Salinan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dipalsukan dan dokumen pengenalan diri I-Kad keluaran Imigresen Malaysia.

“Kebanyakan pelanggan mereka ialah warga asing majoritinya Indonesia dan Bangladesh kerana dipercayai permintaan I-Kad semakin meningkat di pasaran sejak pelancaran Ops Mega 3.0 mencantas warga asing haram di negara ini.

“Sindiket ini menawarkan dokumen dan I-Kad yang dipalsukan itu mengikut pakej kepada warga asing dengan bayaran bermula dari RM30 hingga RM180.

“Namun pakej yang paling hangat mendapat permintaan tinggi dari warga asing ialah Pakej Lengkap dengan bayaran RM180 dilengkapi surat kebenaran bekerja dengan syarikat lain, sekeping biodata peribadi di dalam pasport beserta permit kerja dan juga sekeping I-Kad mengikut kategori pilihan,” katanya pada sidang media di Komplek Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan selama sejam bermula pukul 3.30 petang itu, pihak penguatkuasa berjaya merampas 10 keping I Kad yang siap diproses, mesin percetakan, komputer dan Unit Pemprosesan Pusat (CPU) yang dilengkapi data-data pelanggan.

Katanya, mana-mana warga asing yang memiliki pakej ini menganggap akan terlepas daripada operasi penguatkuasaan Imigresen Malaysia.

Menurut beliau, dua suspek lelaki warga tempatan itu pernah terlibat dalam pengeluaran I-Kad palsu sebelum ini.

“Setelah mendapat latihan secukupnya, mereka berpisah dan mengembangkan sindiket perniagaan haram itu dengan berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan alat telekomunikasi selama ini.

“Manakala dua wanita warga Indonesia juga berperanan sebagai pembantu mereka terlibat secara langsung dalam pengeluaran dokumen berkaitan selain menjadi orang tengah mendapatkan pelanggan warga asing.

“Pelanggan warga asing yang memerlukan dokumen akan diambil gambar berukuran pasport menggunakan telefon bimbit dan segera memproses I-Kad menggunakan data peribadi yang dipalsukan yang disimpan dalam sistem komputer.

“Malah kami menjangkakan sudah tentunya sindiket ini mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit menerusi kegiatan ini selama tiga tahun beroperasi,” ujarnya.

Sementara itu, Mustafar berkata, seramai 19 orang warga asing yang merupakan pelanggan turut ditahan di sekitar dua premis itu.

“Mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 55D Aka Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda sesuatu endorsmen atau dokumen untuk digunakan sebagai Visa, Permit, pas atau kelayakan dan Seksyen 56 (1A)(c) akta yang sama kerana bersubahat atau melibatkan diri dalam komplot untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” tambahnya.

Kata beliau, imigresen turut meneliti CPU yang dirampas untuk mendapatkan data-data didalamnya bagi membantu siasatan.

“Sekiranya terdapat rangkaian sindiket ini yang terlepas dan masih bebas di luar sana kita akan memburu mereka habis habisan,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, katanya, kesemua suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara tidak kurang 5 tahun dan maksimum 10 tahun dan enam sebatan.

Bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-dua sekali.

“Warga asing atau pekerja Indonesia atau Bangladesh yang meragui dokumen pengenalan diri yang dimilikinya boleh tampil ke Imigresen untuk diimbas dan disemak untuk mengesahkan kesahihannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast