Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan tempoh lima tahun untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kerajaan memerlukan masa menghapuskan akta itu sebelum menggantikannya dengan undang-undang baharu.

“Tempoh itu diperlukan bagi mengkaji dan melakukan rundingan bersama semua pihak berkepentingan.

“Selaras usaha memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan akta baharu, kita memerlukan masa untuk berbincang sebelum mencapai keputusan muktamad,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-UMNO Besut) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan jawatankuasa 12 anggota pelbagai latar belakang untuk mengkaji AUKU.

Menjawab soalan tambahan Idris, beliau mengesahkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menemui Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam.

Nie Ching menegaskan tidak mengetahui dakwaan yang memaksa mereka untuk meletak jawatan kerana beliau tidak menghadiri pertemuan terbabit.

Namun keadaan di Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Idris terus mendesak Nie Ching menjawab sama ada beliau mengetahui butiran mesyuarat itu.

Idris kemudian bertanya apa perlunya kementerian mengetepikan ahli lembaga pengarah di universiti awam, Nie Ching menjawab, ia adalah selari dengan dasar kerajaan sedia ada.

“Pada zaman Barisan Nasional, memang ada lantikan politik dalam universiti dan Janji PH ialah kita tidak akan membuat lantikan politik.

“Lagi pun sekarang kita di era Malaysia baharu dan mahu bawa pemimpin baharu dengan idea segar,” katanya. – MalaysiaGazette