SHAH ALAM – Datuk Lokman Noor Adam mengakui tidak dapat menandingi kelebihan calon lawan dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kempen, logistik, sumber kewangan dan kawasan di DUN Sungai Kandis.
“Kalau nak bandingkan saya dengan Mohd Zawawi dari segi kempen dan perang poster, dia memang mendahului dari sayalah. Kelebihannya ialah dia anak tempatan, ada jentera kerajaan turun bantu kempen dan billboard pun besar.
“Saya bukan anak tempatan, sumber kewangan agak terhad dan perang poster pun saya kalah sebab saya hanya ada kain rentang. Itu pun kena cantas, diarahkan turunkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja dekat sini, hari ini.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, sudah tentu dengan tempoh berkempen 11 hingga 12 hari beliau mempunyai masalah masa untuk turun berjumpa dan bertemu mata dengan semua pengundi dalam DUN berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga malam tadi, hanya ada tiga empat kawasan lagi beliau belum sempat turun dan berjanji akan menemui pengundi di kawasan berkenaan sebelum tengah malam 3 Ogos ini.
“Setakat ini ada tiga empat kawasan lagi saya belum turun. Kalau nak dibandingkan dengan Mohd Zawawi, dia ni memang terdahulu dari sayalah, mungkin dia anak tempatan, memang orang di sini pun kenal dia.
“Saya ramai orang kenal, tapi kenal nama, orang tengok melalui surat khabar, orang kenal melalui Facebook, tetapi kesempatan untuk berjumpa itu tidak berapa nak ada. Ini mungkin kelemahan di pihak kami dan kami dengan masa yang suntuk, akan cuba sedaya upaya untuk menghabiskan kawasan itu.
“Tambahan pula kita berhadapan dengan pilihan raya kecil diadakan dalam keadaan tergesa-gesa untuk memastikan ianya dijalankan dalam tempuh pengundian tidak melepasi tarikh 100 hari mereka memerintah, kerana banyak janji belum ditunaikan,” katanya.
Katanya, beliau bimbang kalau peratusan keluar mengundi ini bawah 80 peratus, peluangnya untuk menang sangat tipis.
Cuma beliau mengharapkan rakyat yang mahukan isyarat jelas diberikan kepada Pakatan Harapan supaya mereka wajib menunaikan janji yang telah dikemukakan, begitu juga kalau ada rakyat yang merasakan mereka tidak berpuas hati dengan politik fitnah dalam PRU14 yang lalu, inilah masa untuk tunjukkan mereka memberi isyarat kepada PH.
Mengenai dakwaan beliau menghentam peribadi Mohd Zawawi dalam kempennya, Lokman dengan tegas meminta pihak berkenaan kemukakan bukti.
“Dalam kempen, saya tak pernah hentam peribadi Mohd Zazawi. Saya hanya ambil sikap menjawab apa saja tuduhan mereka terhadap saya.
“Dan baru sekali saja saya menegur beliau dalam aplikasi telegram dan Instagram saya kerana rombongannya menghimpit kereta saya semasa berkempen. Itu saja.
“Saya rasa sebelum ini tak ada apa serangan saya nak buat ke atas diri Mohd Zawawi. Macam saya cakap semalamlah, saya tak bercadang nak mengaibkan dia. Kalau nak ikutkan, kita boleh keluarkan video dia cucuk langit (berjoget) tu, tapi kita tak buat,” katanya.
Menurutnya, sepanjang berkempen, beliau mengambil pendirian untuk lebih membangkitkan isu nasional, walaupun disindir oleh calon PKR kononnya beliau ketandusan modal untuk main isu tempatan.
“Bukan tidak tahu (isu), soalnya yang meninggal dunia ini (penyandang DUN Sungai Kandis, Mat Suhaimie Shafiei) sahabat saya. Kalau saya main terlalu banyak isu tempatan, bermakna saya mendedahkan kelemahan Allahyarham Mat Shuhaimie, sebab dia wakil rakyat di sini, sebelum ini.
“Bukan kita tidak tahu masalah pusat pelupusan sampah haram di Teluk Menegon. Pusat sampah ini sudah cukup untuk kita nak serang PKR dan kerajaan Selangor, tapi kalau saya serang sekarang, maknanya saya serang arwah sahabat saya.
“Begitu juga mengenai masalah jalan raya, longkang, denggi, sampah tidak terurus, bukan saya tak tahu. Macam saya cakaplah, BN tinggalkan Selangor tahun 2008 dengan rizab RM1.6 bilion, lebih daripada cukup untuk kerajaan Selangor nak selesaikan masalah yang disebutkan oleh Mohd Zawawi,” katanya.
Lokman kemudian memesan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh itu, jika dia banyak main isu tempatan, dia sebenarnya telah memperlekeh dan mempertikaikan perkhidmatan yang gagal disempurnakan oleh arwah Mat Shuhaimie yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Dia serang rakan separtinya sendiri. Itu sebab saya menghormati arwah dan saya tidak bangkitkan isu tempatan.
“Tapi kalau saya menang, lokasi pertama saya pergi ialah tempat pusat pelupusan sampah haram itu. Sebab kita tahu bila ada laporan dari rakyat tempatan, kerajaan negeri akan tutup dua hari sahaja, selepas itu akan buka semula.
“Saya ada mekanisme macam mana nak pastikan pusat itu ditutup selama-lamanya. Kita tidak boleh buat sekarang. Kita akan tunggu selepas saya diberi tanggungjawab sebagai ADUN kalau menang,” katanya. – MalaysiaGazette