Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy layak menerima pakej gaji RM5 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pakej Arul Kanda itu tidak wajar dipersoalkan kerana ia setimpal berdasarkan kelayakan dan prestasi beliau sebelum ini.

Malah, kata Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, Arul Kanda pernah menerima bayaran jauh lebih tinggi dan lumayan ketika bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyertai 1MDB.

“Bagaimanapun beliau sanggup untuk meninggalkan gaji itu dan menyertai 1MDB dan Arul berjaya mengurangkan hutang daripada RM50 bilion kepada RM20 bilion dalam melaksanakan sebahagian tugasnya.

“Lihat bayaran Arul dalam konteks beliau dibayar jumlah yang kecil di 1MDB berbanding nilai lebih besar sebelum menyertai 1MDB,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat semalam bahawa pakej gaji diterima Arul bernilai RM5 juta bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Najib turut menafikan dakwaan sebuah portal berita beliau kerap ke China untuk berjumpa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. – MalaysiaGazette