Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan kerugian pelaburan yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bernilai AS$20 juta (RM80 juta).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, contoh kerugian lebih serius apabila Khazanah terpaksa melupus kira-kira RM3 bilion pelaburannya.

“Sebagai contoh, Khazanah telah melabur sebanyak hampir AS$20 juta (RM80 juta) melalui sebuah syarikat atas talian yang menjual pakaian dalam wanita dan akhirnya pelaburan ini terpaksa dihapus kira. Ini yang paling kecil yang berlaku.

“Ada juga pelaburan yang dibuat melalui private equity (ekuiti persendirian) untuk ambil alih sebuah bank yang akhirnya kerana perbincangan itu tidak dibuat secara terus dengan bank.

“Ia terpaksa hapus kira sebanyak RM3 bilion. Perkara-perkara ini menuntut kerajaan baharu ini untuk meletakkan semula Khazanah di atas landasan ditetapkan,” katanya.

Azmin menjawab celahan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) ketika sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu menyoal mengenai dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Khazanah telah tersasar daripada terasnya.

“Dalam tempoh 10 tahun, aset khazanah telah melonjak RM33 bilion kepada RM134.5 bilion, maknanya dari segi wealth creation dalam 10 tahun, Khazanah telah berjaya.

“Saya bukan nak pertahankan waktu saya jadi pengerusi Khazanah tapi saya hendak minta penjelasan di manakah agaknya yang dikatakan Khazanah telah lari, deviatate dari tujuan objetif asalnya. Saya nak minta penjelasan,” kata Najib.

Sementara itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) yang mengulas jawapan Azmin itu berkata, pelaburan Khazanah Nasional ada kalanya tidak menjadi tetapi perlu diakui bahawa terdapat juga keputusan pelaburan yang baik.

“Kita kena beri penghargaan macam pelaburan dalam Alibaba yang bagi keuntungan yang besar serta pelaubran dalam hospital di Turki, India, China.

“Dan sekarang ini IHH Healthcare Berhad merupakan kumpulan hospital terbesar di dunia,” katanya.

Minggu lalu kesemua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional termasuk Pengarah Urusannya menghantar surat peletakan jawatan tanpa tarikh secara mengejut.

Sebelum itu, Khazanah Nasional sering dikritik pelbagai pihak antaranya ahli CEP dan Perdana Menteri sendiri yang mendakwa sayap pelaburan negara itu telah tersasar daripada tujuan penubuhannya, selain memberikan gaji yang terlalu tinggi

Susulan itu, Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Khazanah manakala Mohamed Azmin dilantik sebagai pengarah bersama ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Sukhdave Singh dan Goh Chin Ying. – MalaysiaGazette