SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam tidak pernah menyampaikan ceramah di masjid atau surau sepanjang berkempen dalam Pilihan raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Katanya, tuduhan oleh Kelab Chedet melalui status dalam Facebook milik kelab itu bahawa beliau menjadikan surau sebagai tempat berkempen dan penyebaran fitnah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah pembohongan semata-mata.
“Saya nak beritahu, tempat yang dimaksudkan oleh Kelab Chedet itu bukan surau. Ia adalah Pusat Perlindungan Darul Solihin, yang mana pusat ini menyediakan perkhidmatan pemulihan untuk mereka yang mempunyai masalah ketagihan dadah, masalah sosial, masalah kena sihir dan sebagainya.
“Sebenarnya pusat ini pun, sebelum saya datang, ia sudah dikunjungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
“Cuma bezanya, bila Wan Azizah dan Mohd Zawawi pergi ke tempat itu, status yang ditulis dalam Kelab Chedet ialah “Mohd Zawawi berbincang dengan pengasas Darul Solihin ketika membuat lawatan ke Rumah Pemulihan Darul Solihin,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, dekat sini, hari ini.
Dalam Facebook itu, pemilik akaun Kelab Chedet menulis: “Selepas kuil, surau pula dijadikan tempat berkempen dan penyebaran fitnah pada kerajaan. Bukan ke selama ini, Jabatan Agama Islam Selangor melarang surau dan masjid dijadikan tempat untuk berpolitik?”
Menurut Lokman, kalau Kelab Chedet menulis Darul Solihin pada kapsyen lawatan calon PKR dan Dr Wan Azizah di tempat yang sama, bermakna mereka tahu itu adalah pusat pemulihan, bukan surau.
“Mereka tahulah ini pusat rawatan pemulihan, bukan surau. Saya sebelum ini dapat gambar Dr Wan Azizah dan Mohd Zawawi berkempen dalam masjid dan surau, tetapi kita malas nak main isu ini kerana saya anggap sebagai isu yang kecil, tak perlu diperbesar-besarkan.
“Malangnya, bila kita buat program di pusat pemulihan ini, yang mana penghuninya bukan pengundi Sungai Kandis, cuma pemiliknya itu teman reformasi saya tahun 1998, ia dijadikan isu,” katanya.
Katanya, beliau berkunjung ke pusat pemulihan itu kerana pengasasnya ada memberitahunya, ketika BN memerintah pihaknya selalu dapat bantuan daripada pemimpin UMNO, tetapi tapi bila BN jadi pembangkang, mereka (pusat pemulihan) berdepan kekangan kewangan.
“Sebab itu saya beritahu dalam aplikasi telegram dan Instagram semalam, saya merayu supaya penyokong kita, penyokong BN dan ahli Pemantau dapat memberikan sumbangan kepada pusat ini. Itu saja.
“Ucapan saya di pusat itu pun berbentuk motivasi. Saya ceritakan mengenai pengalaman diri saya, mengenai bagaimana manusia ini boleh berubah dan saya minta supaya penghuni di sini menggunakan peluang kedua yang diberikan oleh ahli keluarga ini untuk benar-benar berubah dan tidak patah balik buat kerja lama,” katanya. – MalaysiaGazette