KUALA LUMPUR – Polis telah telah melengkapkan kertas siasatan dalam kes pembocoran surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang tular baru baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP) untuk tindakan susulan.
“Kita sudah hampir melengkapkan kertas siasatan itu dan akan merujuk kepada TPP untuk mendapat arahan lanjut berhubung perkara ini.
“Saya tidak mahu mendedahkan mengenainya (pelaku yang membocorkan surat). Cuma boleh sahkan kita sudah lengkapkan kertas siasatan berkaitan,” katanya dalam sidang media khas selepas Seminar PDRM Mendepani Cabaran dan Kepolisan Moden di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.
Ia merupakan program anjuran bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dihadiri pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Ditanya tempoh masa penghantaran laporan itu, Mohamd Fuzi menegaskan, laporan lengkap siasatan itu akan dihantar pada hari ini atau esok.
“Hari ini atau esok kita akan kemuka laporan lengkap siasatan itu dan akan menunggu arahan lanjut,” katanya.
Beliau turut diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat agensi yang membekalkan maklumat kepada Cawangan Khas.
Bagaimanapun Mohamad Fuzi tidak tahu mengenai khabar angin itu.
“Saya tak tahu (ada agensi membekalkan maklumat kepada SB) jadi saya tak boleh komen dalam perkara ini,” tegasnya enggan mengulas lanjut.
Pada 26 Julai lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa pihak berkuasa menyiasat penyebaran surat terbabit yang didakwa berlaku semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional kerana menyentuh kedaulatan negara dan menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab sehingga hari ini.
Antara kemusykilannya ialah sama ada surat itu memohon sokongan agensi CIA AS menjelang PRU-14 lalu turut dihantar kepada beberapa negara lain.
Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu ditandatangani Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab. Hamid diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA ketika itu.- MalaysiaGazette