Nor Azman Hasbullah.
Nor Azman Hasbullah.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa supaya menarik balik kenyataannya yang mengatakan akhbar Utusan Malaysia menghentam kerajaan.

Malah, perkara sama perlu dilakukan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung pemberhentian langganan akhbar milik UMNO itu di sekolah-sekolah, gesa Ketua Penerangan Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Nor Azman Hasbullah.

“Kenyataan Perdana Menteri terhadap akhbar Utusan Malaysia ekoran laporannya yang menghentam kerajaan adalah amat dikesali.

“Ia ibarat menyimbah garam di luka apabila kenyataan  Mahathir itu dikeluarkan ekoran arahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi pemberhentian serta merta langganan akhbar Utusan Malaysia di bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawah kementerian itu.

“Kenyataan dan arahan itu amat tidak wajar kerana ia secara langsung memberi kesan negatif kepada keluhuran perlembagaan negara yang menjunjung kebebasan akhbar serta kebebasan bersuara dan menyatakan perkara-perkara kebenaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nor Azman berkata, kenyataan Mahathir dan tindakan pihak Kementerian Pendidikan itu juga tidak wajar berlaku kerana ia mengancam kebebasan pengamal media daripada terus berkhidmat dengan kebebasan seperti mana yang dilaungkan semenjak sebelum merdeka.

Ujarnya, sebagai media arus perdana, Utusan Malaysia berhak memainkan peranan dalam melaporkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang melibatkan dalam apa jua organisasi mahupun individu.

Tambah beliau, dalam era ledakan maklumat kerajaan seharusnya membuka seluas-luas peluang untuk rakyat menerobos ruang di depan mata dalam mengejar ilmu dari perspektif berbeza.

“Ini termasuk membenarkan mereka untuk membaca dan menimba naratif berbeza dari sebuah penerbitan akhbar.

“Akhbar Utusan Malaysia merupakan penerbitan media perdana yang telah banyak berjasa dalam pembangunan negara,” ujarnya.

Tegas Nor Azman lagi, sekiranya dendam kesumat menjadi garis pandu bagi Dr Mahathir dan KPM dalam mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia, maka beliau percaya karma akan menimpa si pembuat di kemudian hari.

Semalam, Mahathir ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen berkata beliau bersetuju dengan langkah Kementerian Pendidikan menghentikan langganan terhadap akhbar milik UMNO itu.

Katanya, ia berikutan akhbar tersebut tidak menyokong kerajaan sebaliknya berita yang dipaparkan sering menghentam. – MalaysiaGazette