Tokyo Medical University

TOKYO – Tokyo Medical University didakwa mengubah markah ujian kemasukan penuntut perempuan ke insititusi itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tindakan itu dibuat sebagai langkah mengekang kemasukan penuntut perempuan dan meningkatkan bilangan doktor lelaki.

Perubahan skor dalam ujian peperiksaan itu dikesan menerusi siasatan dalam ekoran dakwaan wujud unsur rasuah dalam prosedur kemasukan pelajar di Tokyo Medical University, lapor Yomiuri Shimbun Daily.

Sejak 2011, universiti itu didakwa telah mengurangkan jumlah permohonan kemasukan penuntut perempuan bagi memastikan bilangan pelajar wanita kekal pada paras 30 peratus sahaja.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas berlaku peningkatan penuntut wanita pada 2010.

Media tempatan Jepun pada hari Khamis melaporkan Perdana Menteri Shinzo Abe telah melancarkan komuniti yang menjadikan pembangunan wanita sebagai agenda utamanya.

Bagaimanapun, kaum wanita negara itu masih berdepan cabaran dalam mendapatkan kerjaya, selain menghadapi kesukaran kembali bekerja selepas memiliki anak walaupun kadar kelahiran bayi menunjukkan penurunan.

Akhbar itu yang memetik sumber universiti berkata, langkah tersebut disebabkan ramai penuntut wanita tidak menjadi pengamal perubatan selepas tamat pengajian kerana berkahwin dan memiliki anak.

Laporan terbaharu menyatakan hanya 30 pelajar wanita sahaja diterima masuk ke institusi itu menerusi ujian peperiksaan bagi sesi pengambilan 2018. – MalaysiaGazette