Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan sambil diiringi Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim (dua kanan), Ketua Biro Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suraya Ali (kanan) dan Penasihat Teknikal Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zainal Baharuddin (kiri) menunjukkan surat sokongan berhubung program Grand Usahawan oleh Yayasan Hadhari pada sidang media di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Yayasan Hadhari Imanee mendedahkan sumber kewangan bagi program geran dana usahawan anjurannya.

Pengerusi Biro Undang-Undangnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sehingga kini seramai 300,000 peserta telah menyertai program tersebut yang mengenakan yuran pemprosesan serendah RM150 hingga RM350,000.

Jelasnya, yuran itu dikutip bagi membolehkan peserta mendapat dana antara RM100,000 hingga RM400,000 secara percuma.

“Program geran dana usahawan ini bermula sejak tahun lalu namun semakin agresif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Ada peserta yang sudah bayar wang yuran pemprosesan dijanjikan dana RM150,000 sebelum PRU14 dan bakinya dana selepas itu.

“Namun sehingga kini ke semua peserta tidak mendapat dana yang dijanjikan, malah jumlah wang pemprosesan tidak dapat dianggarkan kerana jumlah yang dikutip berbeza-beza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Aktivitisnya, Datuk Nadzim Johan di pejabat PPIM, di sini, hari ini.

Hishammuddin menggesa pihak pengurusan tertinggi yayasan itu tampil menjawab aduan peserta yang semakin banyak diterima PPIM.

Jelas beliau, yayasan itu juga perlu menjelaskan kenapa mereka menggunakan pendaftaran di bawah nama Pertubuhan Kebajikan Hadhari.

“Datang dan tampil bersemuka dengan PPIM serta buat sidang media bagi menjelaskan kekaburan yang timbul menerusi program itu,” katanya.

Sementara itu, Nadzim menjelaskan, pihak pengurusan tertinggi yayasan pernah datang ke PPIM bagi memohon sokongan ke atas program geran dana usahawan itu.

Ketika disoal siasat, beliau diberitahu, mereka memiliki sumber kukuh bernilai AS$20 trilion (RM80 trilion) hasil keuntungan mata wang asing di Hong Kong.

Namun pada pertemuan semalam pula, katanya, beberapa pemimpin yayasan itu mendakwa mereka menjadi mangsa apabila nama yayasan telah dipergunakan.

“Saya pun macam tidak percaya dengan jumlah dana yang mereka miliki, juga dikatakan program itu mempunyai kaitan dengan Ratu Queen Elizabeth II dan memetik nama beberapa ahli politik terkenal negara.

“Nasihat saya kepada orang ramai, jadilah pengguna yang bijak dan jangan terlalu percaya dengan program yang menggunakan nama pemimpin tertentu.

“Saya juga berharap pihak polis segera bertindak kerana sudah laporan yang dibuat peserta.

“Sidang media ini juga diharap menghentikan program ini yang dikatakan masih berjalan, sekaligus memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Nadzim turut kesal program geran dana usahawan itu turut ‘menjaja’ nama Pejabat Perdana Menteri sebelum ini dengan syarat memiliki akaun di sebuah bank milik kerajaan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast