KUALA LUMPUR – Tiada istilah merajuk dan kecewa dalam hidup Datuk Seri Jamal Yunus sebagai ahli politik sejati.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Besar itu, orang politik tidak akan mempunyai perasan itu jika sedar daripada awal dengan budaya dalam dunia politik.
Katanya, adalah normal apabila ahli politik dipinggirkan bila tiada kuasa dan dihimpit jika memegang jawatan besar.
“Saya tiada hal jika tidak ada orang ambil peduli sekarang. Kecewa dan merajuk tak wujud jika orang politik sedar daripada awal tentang dunia politik.
“Selepas ini, saya akan terus memperkukuh ahli UMNO di bahagian saya dengan roh dan semangat UMNO agar mereka tidak meninggalkan parti ketika parti tidak berkuasa.
“Pada masa sama, saya akan menyiapkan diri kerana difahamkan terdapat 25 kes laporan polis terhadap saya sehingga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembukaan Butik AD Scarves di Ampang di sini hari ini.
Beliau ditanya sama ada merajuk jika terdapat rakan-rakannya yang menjauhkan diri selepas ditahan selama 27 hari di Penjara Sungai Buloh sebelum dibebaskan minggu lalu.
Mengulas lanjut, Jamal memberitahu beliau kehilangan 10 kilogram (kg) berat sepanjang berada dalam penjara namun naik semula mendadak selepas beberapa hari dibebaskan. – MalaysiaGazette