Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPURĀ – Sikap bermuka-muka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibidas kerana meneruskan projek Lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL-1) sedangkan kosnya lebih mahal daripada projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bagi setiap kilometer.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, PIL-1 sepanjang 19.5 km sebelum ini dianggarkan menelan kos RM7.5 bilion (RM385 juta setiap km) tetapi kini telah meningkat kepada RM9 bilion (RM461 juta setiap km).

“Projek ECRL yang dimulakan ketika saya Perdana Menteri sering dikecam oleh PH sebagai satu pembaziran dan terlalu mahal. PH turut mendakwa harga RM55 bilion untuk 688km, iaitu RM80 juta satu km, terlalu mahal.

“Tetapi peliknya, kerajaan PH tegas membuat projek mega seperti projek lebuhraya PIL-1 walaupun penduduk-penduduk Pulau Pinang membantah projek ini kerana ia melibatkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Najib juga mendakwa projek lebuh raya di Pulau Mutiara itu jauh lebih mahal daripada projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) di Selangor yang bernilai RM161 juta bagi setiap km.

“Projek KIDEX di mana pemimpin DAP pernah menuduh saya pada 2015 sebagai membazir dan dikatakan lebuhraya termahal di Malaysia,” katanya.

Katanya, pembinaan Lebuhraya PIL-1 hampir menjadi kenyataan apabila beliau difahamkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sebagai modal permulaan.

“Ini sekaligus membuktikan bahawa serangan dan tohmahan bertalu-talu dilakukan sebelum PRU14 telah berjaya menyembunyikan realiti bagi memperdaya rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette