Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, pertemuan beliau dengan pegawai tertinggi Singapura telah membuahkan hasil positif ketika berkunjung ke republik itu baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu diadakan ketika melawat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang menjalani rawatan perubatan di sana.

“Saya mengambil kesempatan itu untuk bertemu dengan beberapa pegawai kanan di Singapura untuk membincangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR)

“Saya akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama dan pertemuan itu sangat positif,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Azmin menambah, beliau telah menulis kepada rakan sejawat di Singapura untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan perbincangan rasmi mengenai projek itu.

Minggu lalu, kerajaan Singapura memaklumkan telah menerima surat daripada Azmin bertarikh 23 Julai yang menyatakan kerajaan Malaysia sedang mengkaji butiran projek HSR dan akan memulakan perbincangan dengan republik itu tidak lama lagi.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, sekiranya kerajaan Malaysia berhasrat untuk membincangkan projek itu, mesyuarat sepatutnya diadakan pada 31 Julai lalu.

“Sehingga 1 Ogos 2018, Malaysia tidak mencadangkan tarikh mesyuarat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 1 Ogos lalu.

HSR adalah projek keretapi sejauh 350 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dan dijangka memulakan operasi pada tahun 2026. – MalaysiaGazette