Penolong Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berbincang mengenai ujikaji pada kereta Mercedes di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penolong Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi (kanan) berbincang mengenai ujikaji pada kereta Mercedes bersama pengakji Waterfuel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan ramai teruja dengan sekumpulan pengkaji tempatan yang dapat menghasilkan secara komersil bahan api berasaskan air namun ada juga yang skeptikal mengenainya.

Baru-baru ini jurucakap kumpulan penyelidik itu, Wan Noor Hayati Wan Alias atau dikenali Ibuyati baru-baru ini mencadangkan teknologi itu perlu diaplikasikan kepada kereta nasional ketiga menarik perhatian ramai pihak.

Namun bagi beberapa pakar berkaitan tenaga berpendapat, mustahil air boleh menggantikan petrol bagi mengerakkan kenderaan kerana tiada bukti saintifik yang menjadi asas kajian dan penyelidikan akademik sebelum ini.

Ini kerana mereka berpendapat mengikut hukum kimia dan fizik – penghasilan hidrogen dengan cara memecahkan molekul air kepada hidrogen dan oksigen memerlukan tenaga elektrik yang lebih tinggi berbanding jika hidrogen dihasilkan secara semula jadi.

Walaupun sudah beratus tahun, inovasi berasaskan air cuba dihasilkan namun belum ada pembuat kereta mengeluarkan kereta komersil menggunakan air sebagai alternatif petrol berjaya.

Rata-rata penganalisis automotif mendakwa bateri mesti terlalu kuat untuk membekalkan tenaga yang banyak bagi menghasilkan hidrogen berbanding ia dihasilkan sendiri.

Ada juga dakwaan tiada masalah untuk menggunakan alat-alat tertentu membantu enjin selagi mengikut piawai yang ada.

Malah pengeluar kereta terkenal di negara ini mengakui bahawa mereka juga sedang melakukan kajian untuk menggunakan air bagi menggantikan petrol tetapi sehingga kini masih gagal.

Dalam penyiasatan kumpulannya, Ibuyati gagal untuk mendapatkan pengesahan daripada komuniti sains terutamanya pakar-pakar, jurutera dan profesor termasuk Majlis Profesor Negara kerana menurut mereka, mereka memerlukan bukti dan penjelasan dari sudut sains sebelum membuat kesimpulan. Sesuatu yang mereka tidak ada pada masa ini.

Mereka bagaimanapun mengesahkan secara teori, hidrogen lebih jimat jika elektrik datang terus dari air, solar dan hidro tetapi memerlukan kos yang tinggi jika menggunakan tenaga elektrik.

Adalah mustahil untuk menggunakan elektrik yang dihasilkan dari enjin kereta melalui alternator, kata mereka.

Penolong Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berkata, UPNM sedang menjalankan kajian mencari sumber tenaga altetnatif termasuk daripada tumbuhan lumut (algae) namun adalah mustahil untuk mendapatkan sumber tenaga untuk enjin daripada air.

“Untuk mendapatkan satu liter hidrogen sahaja memerlukan masa selama 2,990 jam. Bagaimanakah hendak menggunakannya pada enjin kereta? Mustahil dapat dilakukan,” ujarnya.

Bagi Ketua Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Amran Mohd. Salleh pula berkata, para saintis masih menunggu ilmu, formula atau teknologi hijau itu untuk didedahkan kepada umum sekiranya sistem air sebagai bahan api dapat dikomersilkan.

Katanya, inovasi berasaskan air hanya dipelopori oleh kumpulan minoriti yang percaya sumber alam semula jadi mampu menggantikan atau mengurangkan kebergantungan kepada petrol.

“Sebelum penciptaan baharu, peringkat asas yang dilalui ialah penerimaan orang ramai, permintaan, kesanggupan pelabur selepas terbukti teknologi berkenaan baik dan diterima.

“Contohnya, di Brazil sumber etanol digunakan sebagai ganti petrol untuk menggerakkan enjin selepas diterima masyarakat inovasi itu baik untuk alam sekitar dan kenderaan.

“Masyarakat pula perlu mengubah sikap supaya mudah menerima teknologi baharu kerana kesannya kepada generasi akan datang dan mengusahakan alternatif menjimatkan sumber fosil yang bakal habis,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menjelang tahun 2050, populasi penduduk dunia meningkat sehingga 10 bilion, meningkatkan sumber bumi seperti mineral, hutan dan laut yang menyebabkan keberangkalian ia akan habis lebih cepat daripada jangkaan.

“Peningkatan sumber yang membebaskan karbon dioksida (CO2) dan karbon monoksida (CO) ke udara menipiskan ruang atmosfera bumi menyebabkan pemanasan global yang kini dihadapi oleh negara kita dan lain-lain negara.

“Beberapa insiden letupan yang berlaku di stesen minyak ketika pengguna mengisi minyak menunjukkan kesedaran awam berhubung langkah keselamatan dan pengetahuan mengenai bahayanya pengewapan CO2 masih rendah.

“Dengan maklumat berkenaan, pembuat kereta dan kerajaan perlu mengambil inisiatif mengeluarkan produk berasaskan teknologi hijau secara meluas selain memberi insentif kepada orang ramai supaya inovasi terbukti murah, selamat dan praktikal dapat dimanfaatkan segera.

Mohamad menambah, situasi kritikal pembebasan CO2 menyebabkan sudah ada beberapa pembuat kereta menghasilkan enjin kecil berkuasa turbo yang lebih efisen.

Katanya, pengeluar kereta menggunakan Electric Vehicle (EV) dan hibrid yang dikomersialkan namun memerlukan sokongan pentadbir untuk meningkatkan frekuensi penggunaannya di pasaran.

“Contohnya, menambahkan pusat mengecas bateri kereta EV memberi diskaun cukai pengangkutan jalan raya,” katanya.

Bila pakar dan akademik kata mustahil, macamana kumpulan penyelidik Ibuyati mampu membuktikannya boleh?

Apa rahsia yang menjadi pencetus atau punca kejayaan Ibuyati ini yang nampaknya tak ada pada semua pihak selama ini?- MalaysiaGazette

 

Ibarat beri ‘minyak percuma’ jika guna Waterfuel

 

EKSKLUSIF: Kereta nasional ketiga perlu guna tenaga air