Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu ada dalam portfolio yang dikemukakan dalam gabungan pembangkang.

Menurut beliau, Pas sudah ada barisan Kabinetnya sendiri dan tanpa penglibatan Barisan Nasional (BN).

“Tak ada (Pas tidak ada dalam portfolio pembangkang) dan saya pun tak ada maklumat mengenainya.

“Dalam parti Pas memang dah ada jadual Kabinet kita, yang jaga kementerian-kementerian dalam Pas dan saya fikir UMNO pun begitu,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa pembangkang ada portfolio tersendiri yang akan diberikan kuasa dan bergantung kepada bidang masing-masing.

Jelas Ahmad Zahid, pembangkang hanya akan mempunyai portfolio dan bukannya Kabinet bayangan yang diura-urakan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, portfolio itu tidak dinafikan akan berlaku pertindihan di antara kedua-dua parti, tapi pelaksanaan itu tidak menimbulkan masalah kepada pembangkang.

“Mungkin ada pertindihan, tetapi tak apa sebab BN pun dalam blok pembangkang,” katanya. -MalaysiaGazette