Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pembangkang tidak mempunyai senarai Kabinet bayangan.

Sebaliknya, katanya ia hanyalah senarai portfolio tertentu yang telah diputuskan oleh UMNO dan Pas.

“Kita tidak mempunyai barisan Kabinet bayangan tapi kita telah menyusun senarai dari pembangkang yang mewakili UMNO dan Pas terutamanya untuk diberikan tanggungjawab memfokuskan portfolio tertentu.

“Ini telah kami berikan kepada semua ahli Parlimen dan tentunya sebagaimana yang kita lihat perbahasan-perbahasan menjurus kepada bidang masing-masing,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada penghujung Julai lalu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN mungkin akan mengumumkan pembentukan kumpulan seakan Kabinet bayangan.

Ujarnya, perkara itu ia akan diumumkan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO.

Ahmad Zahid turut ditanya siapakah individu yang akan mengetuai portfolio berkenaan, beliau berkat, senarai itu tidak memerlukan ketua untuk mengepalainya.

“Tak perlu. Kita mempunyai cara yang berbeza dan kita tak perlu ada Kabinet bayangan sebagaimana yang dibuat oleh pembangkang dahulu.

“Kita mempunyai cara yang tersendiri untuk memfokuskan beberapa portfolio dan juga beberapa isu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette