Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Logo baharu Pakatan Harapan (PH) akan digunakan untuk pertama kali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, kata Naib Presiden Majlis Presiden PH (MPPH), Datuk Salahudin Ayub.

Beliau berkata, parti itu akan mengibarkan logo berkenaan, yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada Hari Penamaan Calon 18 Ogos hingga hari mengundi 8 September ini.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PH baru-baru ini telah memutuskan kita akan menggunakan lambang baharu. Logo baharu yang telah diluluskan ROS,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Empowering of Agriculture Extension 2018 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dekat sini, hari ini.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya dari DAP, Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan, menyebabkan mendiang maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Tien Chee yang mendapat 41,768 undi berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Chin Wah (5,874) dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali (6,230) dengan majoriti 35,538 undi.

Ditanya tidakkah Parti Amanah Negara (PAN) akan meminta PKR dan DAP berkompromi untuk meletakkan calon parti itu bertanding di kerusi pada PRK ini, beliau yang juga Timbalan Presiden PAN berkata, polisi sedia ada, mana-mana kerusi yang dimenangi itu adalah milik parti yang berkenaan.

“Tidak timbul isu amanah akan minta kawasan itu untuk bertanding. Secara persefahamannya, kita menghormati kerusi yang kita menangi dan yang dimiliki oleh parti tersebut.

“Kalau ada pun (mungkin) pada masa akan datang. Itu pun bergantung kepada persefahaman dan persetujuan bersama atas semangat Pakatan Harapan,” katanya. – MalaysiaGazette