Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018
Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Seperti yang umum sedia maklum, nama Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bukan sahaja disifatkan lantang malah juga dianggap sebagai ‘pengacau’ kerana seringkali menimbulkan kegamatan ketika sesi Dewan Rakyat sejak awal lagi.

Pasti akan wujud pertelingkahan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang kerana soalan-soalan panas yang diajukan oleh beliau menyebabkan rata-rata mereka hilang sabar.

Terbaru, Rayer ditempelek oleh Khairy Jamaluddin (Rembau – BN) apabila ‘diganggu’ oleh beliau ketika sedang membahaskan Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.

Ketika itu, Khairy sedang berbahas betapa cukai GST jauh lebih efisyen dan telus jika hendak dibandingkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada September nanti.

Rayer tiba-tiba bangkit dan menyoal adakah bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membayar GST untuk membawa masuk barang-barang peribadi miliknya.

“Jika benar-benar GST itu cukup efisyen, adakah isteri Yang Berhormat Pekan membayar GST untuk semua barang-barang yang dibawa masuk bernilai RM60 juta,” soalnya.

Bagaimanapun, persoalan itu menyebabkan Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini ‘hilang sabar’ serta terganggu apabila dicelah dengan soalan seumpama itu.

“Yang Berhormat Jelutong ini sebenarnya kawan baik saya. Namun sejak menjadi Ahli Parlimen, beliau jadi sangat terdesak untuk menjadi seperti mendiang Karpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelutong.

“Wahai kawan, saya pernah mendapat peluang secara terhormat untuk bersama mendiang Karpal Singh dalam Dewan yang sama sebelum ini. Anda langsung tidak ‘dekat’ atau setaraf dengan beliau,” sindirnya dalam Bahasa Inggeris.

Sindiran itu kemudian mendapat tepukan gemuruh.

Namun, Rayer membalas balik dengan menyatakan dirinya tidak berniat langsung untuk diiktiraf setaraf dengan Karpal Singh malah tidak ada seorang dalam kalangan mana-mana Ahli Parlimen setanding dengan beliau.

“Jika anda lelaki, jawab soalan saya. Itu sahaja. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menyaingi Karpal Singh sebenarnya,” tukasnya. – Malaysia Gazette