KUALA LUMPUR – Sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sifatnya sama sahaja pada sudut implikasi terhadap pengguna, yang akhirnya perlu menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dibeli atau dilanggan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Islam telah menggariskan kaedah lebih adil berkenaan pengambilan harta daripada orang lain supaya tidak mengambil tanpa hak dan menyerahkan pula kepada yang tidak berhak.
Kata beliau, zakat adalah model terbaik berkenaan perkara itu, bukan sahaja merupakan ibadah bagi umat Islam, bahkan kaedah pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan manusia.
“Sebagai contoh, mereka yang ada lebihan pendapatan diwajibkan mengeluarkan sebahagian daripada hartanya itu kepada golongan tidak berkemampuan bagi mencukupkan keperluan asasnya.
“Sistem percukaian yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan sepatutnya merujuk kaedah ini sebagai dasar penting. Betapa Islam sangat teliti dan berhati-hati mengenai permasalahan mengambil harta daripada orang lain.
“Keharusan memungut cukai pula tidak dibiarkan bebas, sebaliknya harus diikat dengan syarat tertentu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dr Mohd Khairuddin turut mempersoalkan, GST yang hendak dimansuhkan dan ditukar kepada SST sebenarnya untuk kepentingan siapa, kerajaan, korporat atau rakyat?
Katanya, jika benar untuk rakyat, tidak sepatutnya cukai diganti dengan cukai kerana ia tetap menjadikan rakyat sebagai penanggung beban.
Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak Pas Pusat berkata, kerajaan sepatutnya lebih kreatif dan inovatif melakukan ijtihad meneroka pelbagai sumber bagi menambah pendapatan negara, bukan mengambil jalan mudah mengenakan cukai kepenggunaan kepada rakyat.
“Negara kita bukannya tidak mempunyai cukup pendapatan, tetapi kerana kelemahan dalam mengurus pendapatan dan perbelanjaan menyebabkan berlaku ketidakcukupan.
“Justeru, adalah lebih utama jika kerajaan membasmikan – Mketirisan perbelanjaan sebagaimana dilaporkan telah mencecah sehingga 30 peratus daripada dana kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















