Seorang pengunjung mengambil gambar ketika melawat tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018
Seorang pengunjung mengambil gambar ketika melawat tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Projek Tun Razak Exchange (TRX) yang kini rancak dalam pembinaan akan menyebabkan sebahagian laluan di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Barat di kawasan Imbi di sini ditutup.

Naib Presiden Kanan, Pengurusan Pihak Berkepentingan, TRX City Sdn. Bhd., Mohamed Razib Ahmad Din berkata, penutupan sebahagian laluan Jalan Sultan Ismail akan bermula pada 11 Ogos ini selama 14 bulan.

Jelas beliau, Jalan Barat pula akan ditutup pada tarikh sama selama tiga bulan.

“Gangguan trafik, lencongan dan penutupan jalan ini berikutan kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan menaiktaraf jalan untuk pembangunan TRX.

“Pembinaan ini perlu bagi melengkapi pembangunan TRX sebagai pusat perniagaan Kuala Lumpur yang bertaraf dunia.

“Berdasarkan kerancakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur TRX hari ini, kami menjangkakan fasa pertama pusat kewangan antarabangsa yang turut melibatkan Menara Exchange 106 dan Menara Prudential bakal beroperasi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media di sini hari ini.

Mohamed Razib menambah, penutupan jalan di beberapa lokasi tidak dapat dielakkan demi memastikan kelancaran projek nasional ini dan menjaga keselamatan awam.

Jelas beliau, pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis akan sentiasa komited untuk melaksanakan penutupan laluan itu secara sistematik dan terancang.

“Pelbagai langkah mitigasi akan diambil termasuk melebarkan sebahagian jalan untuk membolehkan pusingan-U, menempatkan polis trafik di sepanjang laluan terlibat.

“Pada masa sama, hebahan maklumat terkini trafik melalui aplikasi Waze dan sistem hebahan maklumat DBKL melalui papan tanda elektronik, ITIS.

Mohamed Razib memberitahu, berikutan penutupan sebahagian laluan Jalan Sultan Ismail itu, pengguna jalan raya yang berhasrat menuju ke pejabat Syarikat Mengurus Banjir & Terowong Sdn. Bhd. (SMART Co) melalui jalan itu perlu menggunakan laluan khusus yang disediakan untuk kenderaan dengan had ketinggian tidak melebihi dua meter.

Katanya, laluan masuk ke Terowong Smart pula boleh diakses melalui Jalan Sultan Ismail seperti biasa.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi ke semua papan tanda keselamatan dan tanda arah sementara bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya. – MalaysiaGazette