KUALA LUMPUR – Proses pemantapan kerangka baru mengenai dasar luar negara yang lebih jelas dan tersusun sedang dilakukan oleh kerajaan.
Ia melibatkan perkara-perkara komprehensif serta tidak lagi bersifat berperingkat atau sedikit demi sedikit, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, langkah yang dilakukan oleh kementeriannya itu akan mengekalkan dasar luar sedia ada yang dilihat bersesuaian meskipun terdapat tumpuan dan hala tuju baru serta penambahbaikan yang akan dilakukan.
“Dasar luar baru akan memperkenalkan tiga elemen yang sebelum ini tidak dikemukakan dengan jelas oleh kerajaan terdahulu.
“Dalam konteks umat Islam, kami akan menggunakan pendekatan Maqasid as-Syariah, yakni melihat matlamat syariah yang lebih tinggi; dari segi universal kami akan menggunakan pendekatan prinsip hak asasi manusia dan dari segi posisi, Malaysia lebih menjadi negara kuasa pertengahan,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam soalannya Nurul Izzah bertanya berhubung tindakan dan peranan yang bakal dimainkan Malaysia menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik yang kian meruncing di Palestin, Timur Tengah dan Rohingya serta langkah jangka panjang untuk menangani kemasukan pelarian ke negara ini.
Sementara itu, mengulas mengenai isu Palestin, Saifuddin mencadangkan anggota Parlimen menubuhkan Kaukus Ahli Parlimen bagi membincangkan isu negara berkenaan dengan Wisma Putra sebelum membawanya ke Parlimen.
Katanya, dengan cara itu usul yang dibawakan akan menjadi konkrit dan mempunyai langkah susulan yang kemudian boleh dilaksanakan oleh Wisma Putra.
Ujarnya, kerajaan juga sedang merancang untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang dijangka diputuskan tidak lama lagi.
“Saya yakin satu daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang akan ditubuhkan ialah mengenai hubungan antarabangsa, saya yakin jawatankuasa itu akan menjadi satu medan penting untuk memperhalusi usul tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette