KUALA LUMPUR – KL Strike Force berjaya melaksanakan lebih 1,100 operasi penguatkuasaan banteras kegiatan ‘kotor’ dengan lebih 2,200 tangkapan sejak penubuhannya pada Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, kejayaan ini hasil sokongan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, KPDN, dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Kejayaan ini disambut baik oleh penduduk yang menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah yang lama dinantikan.
“Kuala Lumpur mesti menjadi tempat yang bebas daripada segala macam kegiatan tidak bermoral dan melanggar undang-undang seperti aktiviti persundalan, perniagaan tanpa permit, dan struktur haram,” katanya ketika berucap dalam Program Setahun Dr Zaliha Mustafa di Auditorium DBKL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, DBKL dan agensi berkaitan diseru untuk lebih proaktif dalam tindakan dan bukan sekadar bertindak balas kepada aduan.
Beliau berkata, kawasan-kawasan yang telah diambil tindakan perlu segera diberi tujuan baharu, termasuk potensi untuk dijadikan sebagai ruang hijau untuk manfaat komuniti.
Dalam pada itu, isu banjir kilat juga menjadi perhatian serius dan sebanyak 14 projek di bawah Pelan Mitigasi Bencana Banjir Kilat dan Cerun telah dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi mengurangkan risiko banjir di lokasi panas.
“Saya perlu beri pujian kepada pihak DBKL dan pasukan kerana bertindak pantas apabila berlakunya banjir kilat pada 15 Oktober lalu.
“Melangkah ke hadapan, konsep inovatif seperti ‘Sponge City’ dan sistem penahanan air hujan di tapak sedang dikaji bagi memastikan Kuala Lumpur terus berdaya tahan menghadapi cabaran perubahan iklim,” ujarnya. – MalaysiaGazette