Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa (tengah) diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh (kiri) bersalaman dengan Aktivis Hak Asasi Manusia yang merupakan seorang Transgender, Nisha Ayub (kanan) selepas membuat pertemuan di Pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, tiada langsung dibincangkan mengenai isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina yang dibuat antara beliau dengan aktivis transgender Nisha Ayub di pejabatnya, semalam.

Mujahid berkata, pertemuan yang diadakan itu hanyalah kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah.

“Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mujahid berkata golongan transgender meminta untuk tidak didiskrminasi masyarakat dan mendapat layanan saksama seperti rakyat Malaysia lain.

Perkara berkenaan diluahkan Nisha Ayub yang mewakili golongan transgender pada pertemuan berlangsung di pejabat menteri berkenaan di Putrajaya.

Pertemuan dijalankan susulan isu penurunan gambar Nisha yang dipamerkan pada Festival George Town di Pulau Pinang itu juga membuka ruang bagi pihaknya mendekati golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut berkata rakyat tidak seharusnya membenci dan diskriminasi terhadap golongan ini terutamanya di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam.

“Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak mengalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain. Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette