GOMBAK – Timbalan Presiden Pas, Datuk Ibrahim Tuan Man berkata, UMNO secara sah akan membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia yang bermula minggu depan.

Ujarnya, langkah itu diyakini disebabkan UMNO tidak meletakkan calon pada kawasan itu sebagaimana yang dilakukan Pas pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.

“Saya tengok muka dia (UMNO) macam nak tolong. Kita harapkan mungkin sebagaimana kenyataan bila dia tidak turunkan calon, kita harap pengundi UMNO tolong undi Pas,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad hari ini.

UMNO pada 3 Ogos menerusi timbalan presidennya, Datuk Muhamad Hassan berkata, parti itu tidak akan meletakkan calon dan memberikan laluan kepada Pas.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, kerjasama itu diterjemahkan di atas semangat setia kawan di barisan pihak pembangkang.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan melihat kepada sentimen pengundi di Seri Setia tanpa melibatkan penglibatan orang ketiga.

Ditanya samada Pas akan mengalu-alukan kehadiran bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk berkempen di kawasan itu, beliau berkata: “Kita tidak jawab soalan kalau…biar dulu.

“Bagi kita jawatankuasa akan turun melibatkan semua pihak. Kita sambut baik semua tenaga. Dalam Pas kita ada beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh bahkan petugas Pas akan memahami situasi pengundi dan sensitiviti masyarakat setempat. Itu perlu diambil kira,” katanya.

Kehadiran Najib di Sungai Kandis sebelum ini dilihat sebagai faktor pengurangan jumlah undi dan mengakibatkan UMNO gagal memenangi kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan Pas sudah menyenaraikan tiga nama untuk disenaraikan sebagai calon di PRK DUN Seri Setia.

“Senarai pendek dah ada cuma kita akan naik pada Majlis Syura,” katanya lagi.

Jelasnya nama calon akan diumumkan pada Rabu depan di ibu pejabat Pas Pusat. -MalaysiaGazette