GOMBAK – Ahli Parlimen Pas, Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dilihat mencetuskan provokasi dengan menghasut Orang Asli di Kelantan agar menuntut tanah adat yang didakwa milik mereka.

Ujarnya, tanah adat yang dituntut masyarakat Orang Asli di Gua Musang adalah milik mutlak kerajaan negeri.

Malah katanya kerajaan negeri tidak pernah mengazetkan mana-mana tanah di negeri itu sebagai tanah adat.

“Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tak pernah digazetkan (tanah adat orang Asli).

“Apa jadi masalah sekarang, kawasan kerajaan negeri yang menjadi kawasan balak diberi kebenaran dan permit pembalakan oleh jabatan perhutanan.

“Sebahagian Orang Asli ini dipertahankan oleh beberapa NGO yang dakwa tanah itu tanah Orang Asli sedangkan itu tanah kerajaan sebab itu mereka buat halang pembalak,” katanya semasa sidang media di Kolej Universti Islam Zulkifli Muhammad Taman Malewar.

Kerajaan negeri sebelum ini berkata pernah mewartakan kawasan rayau Orang Asli yang membernarkan masyarakat itu melakukan aktiviti harian mereka tanpa ganguan.

“Kerajaan negeri telah menggazetkan kawasan rayau Orang Asli iaitu kawasan perkampungan dan sekitarnya dimana dia boleh bercucuk tanam, ternakan dan sebagainya.

“Kerajaan tak akan keluar kebenaran kepada syarikat untuk keluar kayu balak dan sebagainya di kawasan yang di klasifikasikan kawasan rayau Orang Asli,” katanya lagi.

Di pejabat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan berkumpul bagi meminta bantuan kerajaan PH untuk mewartakan tanah adat mereka.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob gagal berbuat demikian.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir berjanji untuk berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu pencerobohan tanah wilayah adat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. -MalaysiaGazette