PELABUHAN KLANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melihat sendiri kapal persiaran mewah Equanimity yang berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre di sini.
Beliau yang diiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tiba di terminal berkenaan pada jam 11.40 pagi tadi sebelum dibawa menaiki kapal mewah itu.
Malaysia Gazette difahamkan, kunjungan Perdana Menteri itu merupakan kali pertama selepas kapal Equanimity diserahkan oleh kerajaan Indonesia kepada Malaysia kira-kira 12.25 tengahari pada Selasa lalu.
Selain melihat sendiri kapal mewah bernilai RM1 bilion itu, Perdana Menteri turut dibawa menemui beberapa pembida yang dikatakan berminat membeli Equanimity.
Bagaimanapun, pertemuan pihak kerajaan dengan pembida-pembida terbabit dibuat secara tertutup atas kapal mewah itu bagi mengelakkan nilai Equanimity tidak susut secara mendadak jika dibuka kepada umum.
Sehingga kini, kapal yang dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu masih tidak dibuka kepada tontonan umum dan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette