Fazzrudin Abdul Rahman
Fazzrudin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang semakin ligat memfitnah parti itu kebelakangan ini.

Timbalan Ketuanya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tindakan itu sebagai perbuatan terdesak pihak berkenaan dalam usaha memburuk-burukkan dan mengelirukan rakyat khususnya penyokong kuat parti komponen GPS.

“Mereka iri hati melihat parti komponen GPS begitu setia bersama parti dan memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan Sarawak, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

“Sebab itu mereka terdesak dan cuba untuk meraih sokongan rakyat Sarawak dengan melemparkan fitnah kepada parti-parti komponen GPS.

“Mereka mengapi-apikan kononnya beberapa wakil rakyat GPS akan keluar parti dan menyertai mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Semalam kecoh apabila ada dakwaan menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin sudah diterima menyertai PKR dengan menyebarkan borang palsu mengenai penerimaan keahlian itu.

Bagaimanapun, wakil rakyat itu sendiri telah menafikan menyertai PKR.

Menurut Fazzrudin, perbuatan memfitnah dan terdesak itu bukan sahaja dilakukan di media sosial, malah ada yang secara terbuka kononnya atas nama ‘jurucakap’ sebuah parti yang baru membuka cawangan di Sarawak mengeluarkan kenyataan kepada pihak media, dengan mendakwa beberapa ahli GPS akan keluar parti.

Beliau merujuk BH Online pada 5 Ogos lalu melaporkan, selepas enam Ahli Parlimen GPS didakwa mahu meninggalkan pakatan itu, tiga lagi ADUN GPS dikhabarkan sudah bersedia untuk ‘angkat kaki’.

BH Online memetik jurucakap Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI) sebagai mengeluarkan kenyataan, bahawa tindakan sembilan wakil rakyat terbabit keluar parti disebabkan hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi GPS, khususnya PBB yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

Fazzrudin meminta rakyat Sarawak terutama ahli parti tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan pembohongan itu dan menjangkakan lebih banyak fitnah bakal dikeluarkan pihak berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast