KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas semula kira-kira RM1.47 juta wang tunai dari 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri yang ditahan Rabu lalu.
Sebelum ini, SPRM mengumumkan telah menyita sejumlah RM1.19 juta wang tunai dan beberapa kenderaan seperti kereta serta motosikal yang dirampas susulan siasatan berterusan ke atas pengawal keselamatan itu.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, keseluruhan wang tunai yang disita SPRM kini berjumlah RM1.47 juta, tujuh kereta, 12 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.
“Tujuh kereta itu ialah sebuah Volkswagen Golf GTI , tiga Honda, dan masing-masing sebuah Subaru Impreza, Toyota Vios dan Perodua Alza, manakala 12 motosikal pula, lima daripadanya berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda,” katanya seperti dilaporkan NSTP, hari ini.
Menurut Azam, semua kenderaan dan barangan yang disita itu kini masih dalam proses penilaian harga.
Rabu lalu, media melaporkan seramai 17 pengawal keselamatan di JPM, direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) RM3.5 juta.
Mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga KP38 berusia antara 31 hingga 51 tahun yang bertugas di Kompleks B, JPM.
Aset dan wang tunai itu dipercayai hasil penyalahgunaan wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dipercayai diambil mereka daripada pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sejurus ditahan Selasa lalu, SPRM merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan motosikal bernilai RM90,000 daripada semua suspek. – MalaysiaGazette