KUALA LUMPUR – Kira-kira 150 syarikat akan mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan di Persidangan Industri Bekalan Kuasa Elektrik (CEPSI 2018).

Ia merupakan persidangan industri bekalan elektrik berprestij di Pasifik Barat dan Asia Timur.

Pameran CEPSI 2018 akan diadakan mulai 18 September hingga 20 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Separuh daripada peserta pameran itu adalah disertai oleh syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam industri bekalan elektrik, kata Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad, Datuk Roslan Ab. Rahman.

Beliau yang juga Setiausaha Agung AESIEAP 2017/2018 berkata, selain itu persidangan itu turut disertai oleh China, Jepun, Singapura, Indonesia, Australia, Perancis, Jerman, India, Ireland, Korea Selatan, Portugal, Taipei, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Dijangkakan 6,000 pengunjung akan menyaksikan pameran yang berlangsung selama tiga hari ini.

“Para peserta CEPSI 2018 yang disertai oleh 1,500 delehasi dan 4,500 pelawat pedagangan juga akan mengambil faedah persidangan ini untuk platform padanan perniagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette