Pegawai Perubatan memberi bantuan awal kepada pekerja kilang ais yang terhidu bau gas amonia.

SHAH ALAM – Gas amonia di kilang memproses ais di Taman Desa Latania, Sungai Kandis, dekat sini, bocor awal pagi tadi, mengorbankan dua pekerjanya.

Dalam kejadian pada jam 5.11 pagi tadi, kilang Everest Ice dikawal ketat oleh Bomba dan Penyelamat Shah Alam (BPSA) bagi mengelak pekerja dan penduduk sekitar terhidu bau gas itu.

Menurut Ketua Balai BPSA, Azmel Kamaruddin, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk sampai di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kebocoran yang mengorbankan dua pekerja warga asing.

bocor02
Dua mayat pekerja warga asing dibawa keluar dari kilang dan dihantar ke HTAR, Klang.

Katanya, seramai 18 pekerja yang mengalami sesak nafas, pedih mata dan muntah akibat terhidu gas itu berjaya dibawa keluar dari kilang berkenaan dan kini menerima rawatan oleh pasukan perubatan yang turut berada di situ.

“Anggota kita telah melakukan pemeriksaan di lokasi dan dalam kilang berkenaan dan mendapati kadar bacaan gas amonia sangat tinggi iaitu 500PPM. Tahap normal ialah 50PPM.

“Dengan itu, kita mengarahkan semua pekerja dan penghuni perumahan yang berada di kawasan sekeliling supaya keluar bagi memastikan mereka tidak terhidu gas tersebut,” katanya.

bocor03
Ambulan dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berada ditempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa kebocoran gas amonia.

Menurut Azmel, dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dan lima yang cedera ke hospital yang sama bagi menerima rawatan sementara yang lain di bawa ke Hospital Shah Alam (enam), Hospital Banting (empat) dan Hospital Sungai Buloh (tiga).

MalaysiaGazette difahamkan, kawasan penempatan penduduk yang terletak berhampiran dengan kilang ais itu selain Desa Latania ialah Flat Era dan Pangsapuri Sri Palma.

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hua yang berada berhampiran kilang Everest Ice itu juga dilaporkan ditutup bagi keselamatan pelajar dan guru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast