Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menasihatkan Dr. Khir Toyo supaya jangan jadi duri dalam daging.

Menurut beliau, sekiranya bekas Menteri Besar Selangor itu ada tidak berpuashati dengan parti beliau sepatutnya menggunakan saluran parti.

“Dr. Khir sepatutnya berjumpa dan boleh masuk mesyuarat AJK UMNO bahagian dan sebagainya (jika mahu kritik parti). Jangan jadi duri dalam daging kalau tak berminat keluar UMNO dan pergi parti lain,” ujarnya semalam.

Bagaimanapun Jamal tidak menyatakan apa kritikan Khir secara jelas namun dalam satu kenyataan terbaharu Khir, beliau mengkritik penglibatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap memberi impak negatif kepada UMNO untuk kekal relevan.

Dalam pada itu, Jamal juga menyatakan nasihatnya itu bukan sahaja kepada Khir namun termasuk kepada kepimpinan UMNO lain yang mengkritik parti dan Najib.- MalaysiaGazette