Luahan Nia, seorang OKU yang dikongsu Adaa Suhada berhubung kepayahannya mendapat kemudahan.

KUALA LUMPUR – Kesungguhan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) melayani permintaan golongan Lesbian, Gay, Bikseksual dan Transgender (LGBT) mengundang rasa tidak puas hati seorang netizen Orang Kelainan Upaya (OKU).

Netizen yang dikenali sebagai Nia, mencoretkan kepayahannya dalam laman sosial Facebook, bagaimana beliau berdepan dengan kesukaran untuk mendapat tempat dalam pengangkutan awam dan kemudahan lain.

Katanya, sehingga kini OKU dinafikan hak mereka untuk bergerak seperti kepayahan menggunakan bas yang sebelum ini diuar-uarkan oleh kerajaan menyediakan kemudahan kepada golongan OKU dalam sistem pengangkutan awamnya.

“Kita yang OKU pun sampai sekarang tak ada hak. Nak bergerak pun susah. Konon, kerajaan sediakan bas untuk OKU berkerusi roda, tetapi platform hentian pengangkutan itu lebih tinggi dari bas.

“Apa fungsi bas boleh masuk kerusi roda kalau OKU berkerusi roda tidak boleh menaiki bas berkenaan?” rungutnya dalam akaun Facebook beliau yang dikongsi oleh netizen Adaa Suhada, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, pihaknya menghormati hak LGBT dan berjanji akan membimbing golongan itu.

Nia turut menjelaskan, bukan setakat bas, wad hospital pun tidak disediakan tandas untuk orang OKU dan kalau kemudahan itu di sebuah bank di pusat bandar pun kira bernasib baik.

Beliau juga menceritakan kepayahannya untuk bersolat di masjid, apabila tidak ada kemudahan untuk OKU sehingga terpaksa solat di tempat jemaah meletakkan selipar dan kasut.

“Tak payah cakaplah dengan sistem pengangkutan aliran ringan (LRT), tidak semua stesennya menyediakan kemudahan itu, termasuk lif, yang mana orang OKU berebut dengan golongan sihat.

“Tempat letak kereta pun tidak semua tempat sediakan untuk OKU, tetapi kadang-kadang saya bernasib baik mendapat bantuan atau pertolongan dari pekerja majlis perbandaran yang ada budi bicara apabila nampak kereta OKU,” dakwanya yang berdepan dengan layanan kurang memuaskan di negara sendiri.

Katanya, beliau kesal dan kecewa apabila kerajaan sekarang lebih mengutamakan permintaan LGBT sehingga mencadangkan golongan itu turut berkongsi tandas OKU.

Ujar Nia, tandas OKU pula selalu digunakan oleh pihak yang tiada kaitan dengan masalah kesihatan seperti pasangan bukan muhrim berasmara dan ibu bapa menyalin lampin pakai buang anak-anak.

“Apa yang berlaku hari ini, kehidupan golongan LGBT nampak mempunyai hak istimewa daripada OKU.

“Lebih baik kerajaan menumpukan kepada OKU daripada LGBT, yang mana jika OKU itu pelajar, untuk naik ke kelas di tingkat empat pun susah, begitu juga hendak ke kantin dan perpustakaan,” katanya kecewa.

Nia turut mengingatkan masyarakat di luar sana, sebelum simpati kepada golongan LGBT yang kononnya disisih, mereka perlu melihat kepayahan hidup golongan OKU terlebih dahulu dalam mendapatkan kemudahan untuk urusan harian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast