KUALA LUMPUR – Mufti Perlis berkata, setiap individu boleh memeriksa alat kemaluan sendiri jika keliru untuk memasuki tandas.
Atau pun, individu berkenaan boleh berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya, menurut Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Cadangan itu diberikan selepas ramai yang bertanya kepadanya tandas mana yang patut dimasuki oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Nampaknya, kekeliruan gender membawa kepada kekeliruan tandas. Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar.
“Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.
“Jika tidak keluar langsung, ataupun keluar tidak melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital,” katanya menerusi Facebook.
Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU), ujar beliau. – MalaysiaGazette