PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad akan berusaha untuk membatalkan Pojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan dua saluran paip kerana Malaysia berdepan dengan hutang.
Kedua-dua projek itu disokong oleh pelaburan China.
Meskipun begitu, Perdana Menteri mahu mengekalkan hubungan baik dengan China dan menyambut baik pelaburan, selagi ia memberi faedah kepada Malaysia.
Dr Mahathir akan mengadakan lawatan ke Beijing tidak lama lagi.
“Kami berpendapat Malaysia tidak memerlukan dua projek itu. Kami tidak fikir ia berdaya maju, jadi jika kami boleh, kami akan menggugurkan projek itu,” katanya dalam wawancara bersama Associated Press.
ECRL melibatkan projek landasan keretapi sepanjang 688 kilometer yang menghubung Pantai Timur dan Pelabuhan Klang, manakala projek dua saluran paip gas telah ditandatangani pada tahun 2016.
Kerajaan baharu Malaysia telah pun menggantung projek-projek yang dibangunkan oleh syarikat China dan mahu kos projek yang bernilai AS$22 bilion dikurangkan.
Sekiranya pembatalan projek itu sama sekali tidak boleh dilakukan, Malaysia perlu menangguhkannya sehingga masa depan, ketika ia menjadi keperluan, kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette